Foto: Facebook
Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang didapati terlibat dalam insiden buli fizikal, termasuk bersubahat dalam kejadian tersebut, telah dikenakan tindakan buang sekolah serta-merta.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat hasil syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Disiplin MRSM.
“Keputusan kes buli MRSM oleh Jawatankuasa Disiplin: Tujuh pelajar dikenal pasti. Dua daripadanya terlibat secara langsung dalam perbuatan buli fizikal, manakala lima lagi didapati bersubahat.
“Semuanya disyorkan untuk ditamatkan pengajian serta-merta dari MRSM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa beliau tidak bersetuju untuk memberikan peluang kedua kepada pelajar terlibat, memandangkan sejak awal beliau menerajui MARA, beliau sering menegaskan prinsip #YouTouchYouGo.
“Tiada kompromi. Tidak ada tempat untuk pelaku buli atau sebarang bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA), termasuk MRSM.
“Tidak kira anak siapa pun – sama ada anak Tan Sri, Datuk mahupun anak orang berpengaruh – jika terlibat dalam perbuatan buli, tindakan tegas akan dikenakan. Tidak perlu cuba merayu kepada saya. Pejabat saya tidak akan melayan mana-mana individu yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” ujarnya.
Foto: Sinar Harian
Sebelum ini, tular sebuah video membabitkan perbuatan buli yang melibatkan pelajar MRSM.
Video berdurasi satu minit 31 saat yang tersebar di media sosial itu memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menindih kepala dan badan seorang pelajar lain yang sedang tertiarap di atas katil dalam sebuah bilik, dipercayai asrama.
Mangsa juga dilihat disebat dengan tali pinggang di bahagian punggung, namun tidak dapat dipastikan sama ada insiden itu berlaku sebagai gurauan atau merupakan perbuatan buli sebenar.
Berikutan penularan video tersebut, Asyraf Wajdi semalam memaklumkan bahawa pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terbukti insiden tersebut adalah kes buli yang berlaku di IPMA.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.