Penduduk yang tinggal di sekitar negeri Barat Semenanjung terutama yang tinggal di bangunan bertingkat cemas ekoran gegaran yang dirasai pagi tadi.
Malah, gempa bumi yang mempunyai gegaran 6.2 skala Richter di Utara Sumatra, Indonesia pada pukul 9.39 pagi tadi itu turut menggegarkan beberapa negeri di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Memetik laporan Kosmo, orang ramai turut terkejut dan berkongsi pengalaman mereka merasai situasi yang tak pernah dilalui mereka itu.
“Rasa gegaran dalam lima saat, saya tinggal di kawasan Klang dan turut merasainya,” ciap Hazirah.
“Tengah baring atas katil, terkejut tiba-tiba rasa bergegar lebih kurang dalam 30 saat. Moga semuanya selamat. Orang Shah Alam hati-hati,” kata Hamdan Alias.
“Saya berada di Bukit Juru pagi tadi, memang jelas terasa gegaran hampir lima minit,” kongsi Iszuddin Idris.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
“Ia berlaku pada 0.2 darjah utara dan 100.0 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer (km).
“Selain itu, jarak pusat gegaran adalah pada 76km Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia,” katanya.
Sumber: Kosmo Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.