Pemandu treler tidak bertanggungjawab apabila lari dari tempat kemalangan setelah seorang penunggang motosikal maut akibat digilis treler berkenaan di Kilometer 3 Jalan Machang-Pasir Puteh, pada Khamis.
Mangsa, Ahmad Zarriq Ahmad Zulkhairee, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 malam melibatkan treler dan motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati treler dipandu dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh dan apabila sampai di tempat kejadian, pemandu treler tersebut dipercayai hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave.
“Mangsa digilis dan diseret oleh treler serta disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu treler yang dipercayai langgar lari kerana meninggalkan tempat kejadian itu, giat dikesan sehingga kini,” katanya.
Malah, saksi kemalangan mendapati jenis treler terlibat tidak mempunyai muatan namun tidak dapat dikenal pasti punca boleh berlaku kerana cuaca hujan ditambah kawasan kejadian yang gelap.
“Penunggang motosikal tersebut memakai topi keledar dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 25½ hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang selepas memancing di Pasir Puteh.
“Tempat kejadian adalah jalan dua lorong lurus dan rata serta dua hala dengan garisan tengah putus-putus tetapi tidak ada lampu jalan,” katanya.
Beliau berkata, hebahan dimaklumkan kepada Gerakan Machang untuk bantuan mengesan treler yang terlibat.
“Usaha mengesan pemandu dan treler itu masih giat dijalankan sehingga kini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.