Seorang pelajar sekolah menengah dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 8.34 pagi yang melibatkan mangsa Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, didakwa terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.
“Berdasarkan temubual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.
“Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, mangsa dilaporkan mempunyai luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri akibat terjatuh.
“Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.
Pihaknya juga menjalankan hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.