Seorang lelaki didakwa melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan tingkap cermin Masjid Al-Ittihad, Sg Kob, menggunakan batu nisan, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Mohd Redzuan Salleh, pihaknya memaklumkan seorang ahli kariah masjid menyedari tindakan individu tersebut ketika melakukan persiapan untuk solat subuh pada jam 5.30 pagi.
“Batu nisan itu ditemui berada di saf hadapan di dalam masjid berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kulim.
“Pemeriksaan polis mendapati ada tingkap cermin hadapan telah pecah akibat dibaling batu nisan ke dalam masjid,” katanya.
Hasil siasatan mendapati batu nisan berkenaan dicabut dari tanah perkuburan bersebelahan masjid bagi memecahkan cermin tingkap masjid tersebut.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan suspek seorang lelaki semasa kejadian memakai jaket dan berseluar jean warna biru.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam lebih kurang 3 pagi hingga 4 pagi,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Kesiksaan kerana melakukan perbuatan khianat terhadap rumah ibadat dan percaya ia tiada kaitan dengan isu agama.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.