Jodoh tidak kesampaian buat pasangan ini apabila seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah dalam nahas di Kilometer 17.3 Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) Arah Utara dekat Nilai pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhamad Sofian Sahar, 25, manakala mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Nurazlin Azhar, 25 terlibat dengan kemalangan itu yang berlaku pada pukul 3 petang.
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh para petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa kereta Proton Persona yang dipandu Muhamad Sofian dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Nilai.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, di susur masuk ke Nilai, pemandu dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala penumpang hadapan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk dapatkan rawatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HTJ bagi tujuan bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya
Sumber: Kosmo Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.