Sedih dan sayu apabila penduduk kampung mendapat perkhabaran duka seorang jemaah lelaki meninggal dunia ketika menunaikan solat tarawih di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai pada Sabtu.
Berusia 51 tahun, Zamri Saad disahkan meninggal dunia di masjid itu apabila rebah ketika menunaikan solat tarawih.
Isterinya, Rohani Mohd Noor sebak apabila mengetahui berita tersebut daripada abang iparnya.
“Kira-kira pada jam 10 malam, abang suami saya datang beritahu suami telah jatuh dan pengsan ketika solat.
“Saya terus mengajak anak kedua, Nazirol, 20, ke masjid itu dan dia masuk dahulu ke dalam masjid sebelum keluar semula dengan memberitahu bapanya sudah tiada,” katanya.
Rohani juga memaklumkan tiada sebarang perubahan dilihat terhadap suaminya namun anak-anak mula perasan bapa mereka agak pendiam sejak akhir-akhir ini.
“Sepanjang Ramadan, inilah kali pertama suami saya tergerak hati berbuka puasa di masjid. Tidak sangka arwah akan dijemput Ilahi ketika sedang solat tarawih di masjid itu.
“Sebelum itu, suami ada mengajak saya untuk solat tarawih di masjid itu, namun saya menolak kerana mahu solat di surau berhampiran rumah kami,” katanya.
Mereka sekeluarga tetap sabar dan tabah menjalani kehidupan serta reda dengan pemergian arwah.
“Anak-anak telah membeli baju raya warna sedondon untuk menyambut Hari Raya, namun arwah sudah pergi dahulu,” katanya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.