Ubat merupakan salah satu cara untuk kita sembuh daripada sebarang penyakit. Penggunaan ubat yang betul mengikut arahan doktor dan ahli farmasi adalah penting bagi mendapatkan rawatan berkesan dan selamat.
Jika anda perasan, ada sesetengah ubat perlu diambil sebelum makan, dan ada juga yang selepas makan. Malah ada juga ubat yang perlu diambil bersama makan.
Tetapi, apa sebenarnya beza timing makan ubat ini?
- Sebelum makan
Tujuan arahan ini adalah untuk mengelakkan interaksi ubat terhadap makanan yang akan diambil. Selain itu, ia juga meningkatkan penyerapan ubat yang diambil sewaktu perut kosong (ubat diambil 30 minit sebelum makan). Contoh: ubat Insulin Actrapid Injection, Iron Tablet dsbnya.
- Selepas makan
Tujuan arahan ini adalah untuk mengelakkan iritasi perut. Ini bermaksud ubat tidak boleh diambil sewaktu perut kosong. Contoh: ubat Mefenamic Acid, Ranitidine dsbnya.
- Sebelum/selepas makan
Arahan ini diberikan untuk ubat-ubatan yang tindakan dan pengambilannya tidak terganggu oleh makanan atau perut kosong. Contoh: ubat Paracetamol, Chorpheniramine dsbnya.
- Bersama makanan
Tujuan arahan ini adalah untuk mempertingkatkan kesan ubat dan menggalakkan penyerapan yang lebih efektif. Contoh ubat Acarbose, Calcium Carbonate dsbnya.
- Ambil waktu pagi sahaja
Sebagai contoh ubat Frusemide yang boleh menyebabkan kerap membuang air kencing. Ia boleh menganggu tidur pesakit. (Jika bekerja waktu malam maka perlu diambil waktu malam)
- Ambil waktu malam sahaja
Sesetengah ubat memberi kesan yang optimum jika diambil pada waktu tidur. Contoh: ubat Simvastatin perlu diambil pada waktu malam kerana sintesis kolesterol meningkat pada waktu malam.
- Ambil bila perlu
Arahan ini diberi untuk ubat yang perlu diambil jika ada simptom atau penyakit sahaja. Contoh: ubat Paracetamol, Mefenamic Acid.
Pastikan anda mendapat arahan yang jelas dan lengkap daripada ahli farmasi dan juga doktor, seperti yang juga tertera pada label sampul ubat anda. Baca dan fahami arahan pengambilan ubat, termasuk waktu pengambilan dan dos yang ditetapkan.
Sumber: Myhealth / Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.