Seorang bapa dilihat bersama seorang anak yang dikendong dengan ikatan kain pelikat menaiki motosikal untuk menempuh perjalanan dari Batu Gajah, Perak ke Kuala Lumpur.
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bapa dan anak berusia sembilan tahun itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas pulang beraya dari kampung.
Mereka difahamkan sedang menuju ke rumah terletak di Flat Selayang, Jalan Chow Kit 4, Kuala Lumpur.
Polis peronda yang sedang bertugas di Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) menahan dua beranak itu kira-kira jam 4 petang, Sabtu di Rawang.
“Koperal Mohamad Fitdros Saman bersama Koperal Nazruddin Syazwan Mat Nanyan telah ternampak seorang penunggang motosikal dalam keadaan mengendong anak dengan ikatan kain pelikat di tubuh badan kanak-kanak tersebut di KM435.1 (arah selatan).
“Melihat situasi tersebut, mereka telah berhenti dan bertanyakan apa yang boleh dibantu dan semakan mendapati kanak-kanak lelaki yang dikendong itu adalah anak kandungnya berumur sembilan tahun,” katanya.
Tambahnya, polis peronda menasihatkan lelaki berkenaan dan memaklumkan tindakannya itu boleh mendatangkan bahaya.
“Atas faktor keselamatan, mereka menghubungi Pegawai Turus Lebuhraya Zon Tengah A bagi membawa dan menghantar kanak-kanak lelaki tersebut sambil diiringi ayahnya ke kediaman mereka,” katanya.
Rata-rata warganet juga meluahkan pelbagai reaksi terhadap insiden ini dan berterima kasih kepada pegawai bertugas yang sudi menghantar mereka menaiki kereta peronda ke rumah dengan selamat.
Sumber: [1] [2]
Oleh: Muhammad Izwan Zainal
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.