Foto sekadar hiasan
Tindakan sesetengah pengguna jalan raya yang sibuk merakam insiden kemalangan untuk dimuat naik ke media sosial dianggap sebagai punca utama kesesakan di lebuh raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata tingkah laku pemandu memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran trafik, terutamanya semasa musim perayaan.
"Saya ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak menjadi 'wartawan segera' dan memuat naik video di media sosial kerana ia boleh menyebabkan kesesakan yang seterusnya mengundang kemungkinan kemalangan lain," katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa keadaan trafik semakin buruk apabila ramai pengguna jalan raya berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan, walaupun ia tidak menjejaskan laluan utama.
"Ada kalanya, kemalangan tidak menyebabkan halangan di laluan utama, tetapi sikap pemandu yang memperlahankan kelajuan kenderaan menyebabkan gangguan aliran trafik," tambahnya.
Hanif berkata, di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di Negeri Sembilan, kesesakan sering berlaku dari Nilai hingga ke sempadan Melaka, walaupun tiada halangan jelas di jalan raya.
Keadaan berbukit di kawasan tersebut menyebabkan kenderaan bergerak perlahan, dan ia seterusnya menyebabkan kesesakan yang berjangkit kepada kenderaan lain.
"Pemilihan lorong juga sangat penting. Di Lebuhraya Plus, terdapat jalan dengan empat lorong, tiga lorong, dan beberapa bahagian hanya mempunyai dua lorong," jelasnya.
Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan mengikuti jadual yang dicadangkan oleh pihak konsesi lebuh raya dan memeriksa keadaan trafik menggunakan aplikasi atas talian.
Hanif turut menambah bahawa pihak JPJ akan melakukan rondaan di sepanjang lebuh raya, dan Unit Peronda Lebuhraya dari ibu pejabat juga akan melakukan tugas mereka.
Beliau mengulas mengenai masalah kesesakan di Lebuhraya Plus yang sering berlaku setiap hujung minggu, terutamanya ketika musim perayaan yang melibatkan pergerakan besar-besaran orang ramai pulang ke kampung.
Sumber: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.