Foto sekadar hiasan
Sebuah universiti ternama di timur China mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen dan masyarakat akademik selepas iklan jawatan pengurus kantin yang diiklankan meletakkan syarat kelayakan minimum pemohon mestilah memiliki ijazah kedoktoran atau PhD.
Iklan yang dimuat naik oleh Universiti Tenggara di Nanjing, wilayah Jiangsu pada 22 Mei lalu itu menyenaraikan pelbagai kelayakan akademik dan teknikal bagi calon yang ingin mengisi jawatan tersebut termasuk keperluan memiliki PhD, kecekapan dalam Bahasa Inggeris, kemahiran menggunakan perisian pejabat, serta keahlian dalam Parti Komunis sebagai satu kelebihan.
Selain latar akademik yang tinggi, skop tugasan bagi jawatan pengurus kantin itu juga agak menyeluruh. Ia merangkumi tanggungjawab menyelia penyediaan makanan, mengurus kontraktor luar, menjamin keselamatan makanan serta menyedia dan mengurus dokumen pentadbiran berkaitan pengurusan kantin.
Langkah itu serta-merta mencetuskan kritikan di media sosial, dengan ramai pengguna melabelkan syarat tersebut sebagai tidak munasabah.
“Sejak bila pengusaha kantin memerlukan PhD untuk beroperasi?” soal seorang netizen di laman sosial Weibo yang mendapat ribuan ulang kicau.
Ramai yang berpandangan bahawa jawatan sedemikian sewajarnya tidak memerlukan kelayakan setinggi itu, terutamanya ketika China berdepan isu pengangguran golongan muda yang semakin membimbangkan.
Menurut data rasmi, kadar pengangguran bandar bagi individu berumur 16 hingga 24 tahun, tidak termasuk pelajar sepenuh masa yang berada pada paras 15.8 peratus setakat April lalu, sedikit menurun berbanding 16.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Seorang kakitangan universiti yang dihubungi oleh portal berita Shangyou News menjelaskan bahawa calon yang bakal diambil bekerja tidak semestinya bertanggungjawab memasak. Namun, keutamaan tetap diberikan kepada mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan seperti pemakanan, sains makanan atau seni kulinari.
“Pemohon tidak perlu menjadi tukang masak, tetapi kami mahukan seseorang yang benar-benar memahami pengurusan makanan dari pelbagai sudut termasuk keselamatan dan logistik,” katanya.
Gaji tahunan yang ditawarkan bagi jawatan tersebut dianggarkan sekitar 180,000 yuan (kira-kira RM105,984), iaitu lebih tinggi daripada purata tahunan gaji pekerja sektor bukan swasta di bandar pada tahun lalu iaitu sekitar 124,110 yuan (RM73,076), menurut data Biro Perangkaan Kebangsaan China.
Universiti Tenggara merupakan antara 39 universiti elit di tanah besar China dan sering digandingkan dengan institusi terkemuka lain seperti Universiti Tsinghua dan Universiti Peking. Oleh itu, setiap jawatan yang dibuka di institusi berprestij ini sering menarik perhatian umum tetapi kali ini ia mengundang lebih banyak persoalan daripada sokongan.
Sumber: Agensi
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.