Foto: Kosmo
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) selepas membenarkan rayuan yang difailkannya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. Mahkamah berpendapat bahawa sabitan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah tidak selamat dan berlaku kesilapan dalam arah hukum yang diberikan ketika mensabitkan tertuduh.
Susulan keputusan itu, sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan ke atas Syed Saddiq pada 9 November 2023 telah diketepikan sepenuhnya.
Dalam prosiding hari ini, Syed Saddiq diwakili oleh peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Syed Saddiq sebelum ini didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram. Pertuduhan pertama melibatkan dana RM1 juta yang didakwa disalah guna bersama Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan kedua pula membabitkan dakwaan menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise antara 8 hingga 21 April 2018. Sementara dua pertuduhan lain berkaitan pemindahan wang masing-masing RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang didakwa hasil daripada aktiviti haram pada Jun 2018.
Pada 9 November lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara dan denda berat selepas mendapati beliau bersalah atas semua pertuduhan. Namun, pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini sekali gus membersihkan nama Syed Saddiq daripada semua sabitan dan membebaskannya daripada sebarang liabiliti undang-undang dalam kes ini.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.