
Foto: Instagram (georginagio)
"Ya, saya setuju. Dalam hidup ini dan semua hidup saya."
Satu kapsyen pendek tetapi penuh makna daripada Georgina Rodríguez yang membuat peminat seluruh dunia melonjak gembira!
Selepas hampir lapan tahun bercinta, pasangan glamor dunia, Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez, akhirnya mengikat tali pertunangan. Khabar gembira itu diumumkan Georgina melalui satu hantaran Instagram yang romantis dan sarat dengan emosi. Lokasi mereka? Tak lain tak bukan di Riyadh, Arab Saudi, tempat di mana bintang Portugal itu kini beraksi bersama kelab Al-Nassr.
Hubungan mereka bukan baru sehari dua. Sejak mula berjumpa di butik mewah tempat Georgina bekerja pada 2016, Ronaldo dan Georgina tidak pernah terpisah walaupun dikelilingi gosip dan cabaran dunia selebriti.

Foto: Instagram
Dalam siri realiti Netflix I Am Georgina, peminat dapat melihat sisi sebenar hubungan mereka. Georgina pernah berseloroh tentang orang ramai yang sering menyanyi lagu ‘El Anillo’ oleh Jennifer Lopez kepadanya, dan lagu tersebut mengisahkan tentang seorang wanita yang tertunggu-tunggu lamaran. Tetapi segala persoalan tersebut dijawab dengan tenang oleh Ronaldo,
“Saya 1000% yakin kami akan berkahwin satu hari nanti. Bila saat itu rasa ‘klik’, masa itu akan tiba.”
Dan sekarang, nampaknya masa yang ditunggu itu telah pun tiba!
Pasangan ini sememangnya sinonim dengan keluarga bahagia. Mereka kini membesarkan empat orang cahaya mata bersama, Eva dan Mateo (anak kembar lahir melalui ibu tumpang pada 2017), Alana Martina (2017), dan Bella Esmeralda (2022). Namun, mereka juga pernah menghadapi ujian kehilangan berat apabila kembar Bella meninggal dunia sewaktu dilahirkan.

Foto: Instagram
Georgina juga memainkan peranan sebagai ibu penyayang kepada Cristiano Ronaldo Jr. anak sulung Ronaldo yang kini semakin membesar menjadi pemain bola berbakat seperti bapanya.

Foto: Instagram
Walaupun sibuk sebagai pemain bola sepak elit dengan 25 gol dalam 30 perlawanan musim lalu bersama Al-Nassr, Ronaldo tidak pernah mengabaikan keluarganya. Sering berkongsi momen manis bersama Georgina dan anak-anak di media sosial, Ronaldo membuktikan bahawa seorang superstar juga mampu menjadi pasangan romantik dan bapa penyayang.
Peminat pastinya menantikan majlis perkahwinan mewah yang bakal menjadi antara yang paling epik dalam dunia hiburan dan sukan! Adakah ia akan berlangsung di Portugal? Sepanyol? Atau Arab Saudi? Buat masa ini, masih menjadi teka-teki...
Tetapi satu yang pasti, cinta Ronaldo dan Georgina kini melangkah ke fasa yang lebih indah.
Sumber: Instagram (georginagio)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.