
Foto: BBC
Cristiano Ronaldo membuktikan bahawa usia hanyalah angka apabila sekali lagi menjadi watak utama dalam kejayaan Portugal menjulang gelaran kedua Liga Negara-Negara Eropah (UEFA Nations League) selepas menewaskan Sepanyol 5-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi dramatik yang berakhir 2-2 di waktu sebenar.
Ketika perlawanan akhir di Allianz Arena itu bagaikan ditakdirkan menjadi pentas penutup agung buat sang legenda berusia 40 tahun, Ronaldo tampil dengan satu lagi detik bersejarah, menjaringkan jaringan antarabangsa ke-138 miliknya, satu angka luar biasa yang mengheret perlawanan ke penentuan penalty dan menyelamatkan Portugal daripada kekalahan di tangan jiran serantau, Sepanyol.
Final kali ini tidak sekadar menyajikan aksi berkualiti tinggi antara dua kuasa besar bola sepak Eropah, malah mempertemukan dua generasi berbeza iaitu Cristiano Ronaldo, pemenang lima Ballon d'Or yang tidak pernah kenyang dengan kejayaan, dan Lamine Yamal, sensasi muda Sepanyol berusia 17 tahun yang disebut-sebut sebagai ‘permata’ baharu La Roja.

Foto: X
Namun, malam itu bukan milik Yamal. Di sebalik usaha kerasnya, bintang remaja itu bergelut untuk memberi impak. Sebaliknya, pengalaman dan ketajaman Ronaldo menjadi pemisah, memanfaatkan kekeliruan benteng Sepanyol untuk menjaringkan gol penyamaan penting pada pertengahan babak kedua.
Sepanyol terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Martin Zubimendi pada minit ke-21, menggamatkan penyokong mereka yang mendambakan kejuaraan kedua berturut-turut selepas menjulang trofi Euro tahun lalu. Tetapi kelebihan itu tidak kekal lama apabila Nuno Mendes menyambar hantaran lintang Ronaldo, menjadikan kedudukan 1-1.
Pedri kemudian mempamerkan kecemerlangannya dengan satu lorongan cantik kepada Mikel Oyarzabal, wira Euro 2024 yang menolak masuk gol kedua Sepanyol sebelum separuh masa tamat. Portugal bangkit sekali lagi dengan jaringan penyamaan Ronaldo, sebelum beliau terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dalam masa tambahan.
Selepas 120 minit yang menegangkan, kedua-dua pasukan menuju ke penentuan penalti. Sepanyol yang hadir dengan rekod tanpa kalah sejak Mac 2023 akhirnya tumpas apabila sepakan Alvaro Morata diselamatkan Rui Patricio, membuka laluan buat Ruben Neves menyempurnakan penalti kemenangan buat Portugal.
Portugal mengekalkan rekod sempurna dengan lima sepakan penalti tepat ke gawang, mencipta sejarah memenangi kejohanan ini buat kali kedua selepas kejayaan sulung mereka pada edisi 2018-19. Ironinya, kejayaan kali ini juga masih ada sentuhan Ronaldo.
Portugal 2 (5) - (3) 2 Sepanyol
⚽ Zubimendi 21’
⚽ Mendes 29’
⚽ Oyarzabal 42’
⚽ Ronaldo 67’
🎯 Ruben Neves (penalti kemenangan)
❌ Morata (penalti gagal)
Sumber: BBC
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.