
Foto: Tangkapan skrin video
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes buli melibatkan beberapa pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Nibong Tebal, susulan penularan sebuah video insiden tersebut di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pihaknya telah bertindak pantas dengan mengesan lokasi kejadian serta semua individu terlibat bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kerana menyebabkan kecederaan secara sengaja.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai sudut. Apabila siasatan selesai, kes akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.
Tambahnya lagi, pihak polis telah menerima maklumat mengenai video berdurasi satu minit 31 saat itu sekitar jam 12.30 tengah hari semalam.
Klip tersebut menunjukkan beberapa individu dipercayai pelajar, berada di dalam sebuah bilik asrama dan dilihat melakukan perbuatan membuli seorang lagi pelajar yang terbaring di atas katil.
Siasatan awal polis juga mengesahkan bahawa kejadian buli berkenaan berlaku di salah sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan, dan dipercayai berlaku sekitar pertengahan tahun lalu.
Pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan dengan telus dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa serta bagi mengekang budaya buli daripada terus berleluasa dalam kalangan pelajar.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.