
Foto sekadar hiasan
Mahkamah Tinggi telah mengarahkan seorang wanita berusia 38 tahun untuk membayar ganti rugi mencecah RM200,000 kepada seorang suri rumah kerana merosakkan rumah tangga yang menjangkau usia 50 tahun.
Memetik laporan Berita Harian, perintah itu dibuat selepas hakim memutuskan suami kepada wanita berkenaan melakukan perzinaan meskipun dia menafikan berlaku curang dengan wanita lain, termasuk mendakwa dirinya mengalami mati pucuk.
Rentetan daripada itu, mahkamah tidak menerima alasan berkenaan selepas mendapati suami yang dikenali sebagai PAI gagal mengemukakan bukti perubatan seperti laporan doktor atau rekod rawatan yang menyokong dakwaannya.
Dalam pada itu, Hakim Envrol Mariette Peters, turut memerintahkan suami berusia 74 tahun itu untuk membayar nafkah sebanyak RM205,000 secara sekaligus kepada isterinya, 72, yang dikenali sebagai HAI.
Malah, perempuan simpanan PAI dikenali sebagai KAI selaku ko-responden turut diperintahkan untuk membayar sebanyak RM200,000 sebagai pampasan kepada HAI kerana menjadi punca perzinaan sekaligus RM50,000 sebagai kos guaman.
Susulan daripada itu, mahkamah turut memerintahkan PAI dan KAI untuk membayar sejumlah RM100,000 sebagai kos tambahan kepada HAI.

Foto sekadar hiasan
Selain membayar nafkah, Hakim turut mengarahkan aset perkahwinan pasangan itu dibahagikan sama rata termasuk hartanah, simpanan emas dan pegangan saham dalam syarikat.
Rentetan selepas responden gagal membuktikan aset tertentu adalah harta pusaka peribadinya dan oleh itu, aset itu diputuskan termasuk sebagai harta sepencarian.
Bagaimanapun, mahkamah juga menolak sebarang dakwaan bahawa terdapat perjanjian perkahwinan yang mengecualikan petisyen daripada menuntut bahagian hartanya.
Justeru, hakim mempertimbangkan pendekatan keadilan untuk memastikan hak isteri yang sanggup mengorbankan kerjayanya demi memastikan keluarga tidak terabai.
Hakim memberitahu bahawa walaupun bukti dikemukakan adalah bukti keadaan (circumstantial evidence), ia menggambarkan naratif yang kuat dan koheren mengenai hubungan perzinaan di antara PAI dan perempuan simpanannya.
Beliau berkata, terdapat keterangan si suami bahawa perempuan simpanannya itu pernah bermalam di kediamannya di Kampar termasuk kedua-duanya pernah berkongsi bilik hotel di Singapura walaupun mereka mendakwa masing-masing tidur di katil berasingan.
Perempuan simpanan itu juga mengaku lelaki terbabit pernah bermalam di kondominiumnya, namun ia cuma berkaitan dengan sesi meditasi antara mereka.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.