
Foto: Instagram
Usahawan dan figura terkenal, Neelofa tampil memberi teguran terbuka terhadap sikap sesetengah ibu bapa yang masih menjadikan kekerasan fizikal sebagai sebahagian daripada cara mendidik anak-anak.
Bagi Neelofa, pendekatan seperti ini bukan sahaja sudah lapuk, malah memberi kesan buruk kepada perkembangan emosi dan mental anak.
Dalam satu hantaran di Instagram Story miliknya, Neelofa berkongsi semula satu video daripada seorang pakar pendidikan awal kanak-kanak yang memberi penerangan tentang kesan merotan terhadap tumbesaran anak.
Video tersebut menekankan bahawa pukulan bukanlah kaedah berkesan dalam mendidik anak, malah boleh merosakkan hubungan antara ibu bapa dan anak secara berpanjangan.
“Mindset kolot suka pukul anak. Otak anak boleh rosak, emosi anak boleh rosak dan perkembangan boleh terbantut. Setuju sangat dengan perkongsian ini,” ujarnya.
Menurut beliau, sudah tiba masanya ibu bapa membuka mata dan mengubah cara fikir terhadap kaedah keibubapaan.
Kekerasan bukanlah tanda ketegasan, malah boleh menjadi punca anak membesar dengan masalah emosi, takut untuk berkomunikasi dan kehilangan keyakinan diri. Neelofa percaya bahawa setiap anak mempunyai hak untuk dibesarkan dalam suasana yang penuh kasih sayang dan selamat secara emosi.
Foto: Instagram
Perkongsian beliau itu mencetuskan pelbagai reaksi, terutama daripada ibu bapa muda yang bersetuju bahawa kaedah lama seperti merotan atau menengking sudah tidak relevan lagi dalam dunia hari ini.
Secara tidak langsung, kenyataan Neelofa ini membuka perbincangan yang lebih luas mengenai betapa pentingnya kesedaran terhadap kesihatan mental dan emosi dalam institusi keluarga.
Ramai netizen turut berkongsi pengalaman mereka yang membesar dalam suasana penuh tekanan dan bagaimana ia memberi kesan kepada hubungan mereka dengan ibu bapa hingga dewasa.
Neelofa, yang kini bergelar ibu kepada dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas turut menekankan bahawa pendekatan yang lebih lembut dan mendidik secara psikologi adalah lebih berkesan dalam membentuk peribadi anak.
Dia dan suaminya, Haris Ismail, sering menjadi rujukan dalam kalangan pengikut yang mengikuti perkembangan mereka sebagai ibu bapa muda yang memilih pendekatan Islamik dan mesra anak dalam mendidik.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.