Foto: Instagram
Dalam satu kenyataan penuh emosi, pelakon terkenal Nabila Huda menegaskan bahawa apa yang diinginkannya bukanlah harta atau kekayaan milik bapanya, penyanyi rock legenda Datuk Amy Search, tetapi sekadar kasih sayang seorang ayah yang tulus.
“Awak jangan risau, saya memang tiada niat rampas harta papa. Saya berdiri dengan diri sendiri dan tak perlukan semua itu. Saya cuma nak kasih sayang seorang bapa sahaja,” luah Nabila ketika ditemui di tayangan perdana filem Gayong di ibu negara baru-baru ini.
Isu kekeluargaan antara Nabila dan bapanya kembali menjadi perbualan hangat apabila pelakon itu secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap ibu tiri, Nourish Hassan, yang didakwa menjadi punca keretakan hubungan antara mereka.
“Orang ingat saya asyik bergaduh dengan papa sahaja, tak habis-habis. Kami sentiasa okay dan tiada pergaduhan besar. Cuma, masalahnya 'si polan' itu,” jelasnya.
Ketika diminta mengulas lanjut tentang hubungan dengan ibu tirinya, Nabila dengan nada tegas berkata bahawa dirinya berasa ‘mual’ apabila mendengar panggilan kepada wanita itu.
Saya minta maaf, rasa nak muntah dengar status itu (ibu tiri). Saya cuma ada seorang emak dan dia adalah cinta pertama papa saya.”
Luahannya tidak terhenti di situ. Nabila turut memberi amaran terbuka kepada wanita berkenaan agar berhenti mencampuri urusan yang hanya akan merosakkan hubungan keluarga.
“Wahai ‘perempuan itu’, saya nak awak tahu, saya tahu semua rahsia awak. Saya tahu semua yang berlaku dan ada segala-galanya. Jadi, berhentilah buat apa yang awak sedang buat sekarang.”
Menurut Nabila, tindakan wanita itu telah menyebabkan rasa tidak selesa bukan sahaja dalam kalangan keluarga, malah turut dirasai oleh rakan-rakan industri hiburan.
“Untuk pengetahuan awak, satu industri bencikan awak. Semua orang tak selesa dengan awak,” katanya tanpa berselindung.
Sebelum ini, video pertemuan semula Nabila dan Amy selepas kira-kira setahun tidak bersua menyentuh hati ramai netizen. Momen mereka berpelukan sambil menitiskan air mata memperlihatkan bahawa kasih antara anak dan ayah itu tidak pernah hilang meskipun diuji dengan konflik yang rumit.
Di akhir kenyataannya, Nabila mengingatkan bahawa hidup ini terlalu singkat untuk dibelenggu oleh rasa dengki dan prasangka.
Beliau menyeru agar ibu tirinya membuang sikap negatif dan membenarkan dirinya merapatkan semula hubungan dengan bapanya.
“Sebelum apa-apa yang berlaku, lebih baik hentikan sebelum lebih ramai siasat siapa diri awak yang sebenar. Siapa makan cili, dia terasa pedas.”
Luahan ini memberi gambaran jelas bahawa di sebalik dunia glamor dan perhatian media, wujud luka dan perjuangan peribadi seorang anak yang hanya mahukan ruang untuk mencintai dan dicintai oleh ayahnya tanpa halangan, tanpa prasangka, dan tanpa syarat.
Sumber: Instagram @officialhlive
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.