
Foto: Agensi
Skuad Harimau Malaya terus menerima suntikan kekuatan apabila empat pemain warisan baharu diumumkan secara rasmi menyertai pasukan kebangsaan. Pengumuman ini dibuat melalui satu video khas yang dimuat naik di laman sosial rasmi pasukan Malaysia, menandakan usaha berterusan jurulatih Peter Cklamovski dalam memperkukuhkan skuad kebangsaan bagi menghadapi cabaran antarabangsa yang semakin sengit.
Salah seorang pemain yang diperkenalkan ialah Jon Irazabal, pemain pertahanan tengah kelahiran Sepanyol yang kini beraksi bersama Sabah FK di Liga Perdana Azerbaijan. Pada musim 2024/25, Irazabal tampil konsisten dengan 39 penampilan dan memainkan peranan penting dalam membantu pasukannya menjulang Piala Azerbaijan, termasuk aksi penuh selama 120 minit dalam perlawanan akhir.
Dengan fizikal yang tegap dan pengalaman di liga Eropah, kehadirannya dijangka memperkukuh benteng pertahanan Malaysia yang sering dikritik sebelum ini.
Turut diperkenalkan ialah Joao Figueiredo, penyerang berusia 29 tahun yang bermain dengan kelab Istanbul Basaksehir dalam Liga Super Turki. Beliau mencatatkan 48 penampilan musim lalu dengan 12 jaringan dalam semua kejohanan. Figueiredo dikenali dengan gaya permainan yang agresif serta kebolehan menjaringkan gol dari pelbagai situasi. Cklamovski dilihat memperoleh satu lagi pilihan serangan yang berbahaya, sekaligus memberi tekanan sihat kepada penyerang tempatan dan import sedia ada.
Sementara itu, Imanol Machuca, pemain sayap kanan dari Argentina turut menyertai skuad. Berusia 25 tahun, Machuca memiliki kepantasan, kemahiran menggelecek dan keupayaan mencipta peluang yang boleh menjadi senjata utama di bahagian tepi padang. Gaya permainannya yang dinamik dijangka sesuai dengan falsafah bola sepak menyerang yang dibawa oleh jurulatih dari Australia itu.
Seorang lagi pemain warisan yang diumumkan ialah Rodrigo Holgado, penyerang yang sebelum ini beraksi bersama CD América de Cali dalam saingan utama bola sepak Colombia. Sepanjang musim lalu, Holgado menjaringkan lapan gol daripada 22 penampilan, dengan tujuh daripadanya dihasilkan dalam saingan liga. Beliau terkenal dengan kekuatan fizikal dan teknik penyudah yang tajam, menjadikan barisan hadapan Malaysia semakin mencabar untuk ditandingi.
Keempat-empat pemain ini telah menyertai latihan pusat pasukan kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi aksi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia yang akan datang. Kehadiran mereka menyusul selepas pengenalan beberapa pemain warisan lain seperti Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang telah pun membuat penampilan bersama skuad negara. FAM juga sebelum ini mengumumkan ketibaan Facundo Garces dari Deportivo Alaves sebagai salah satu pelan jangka panjang dalam memperkukuh pasukan.
Langkah agresif FAM dalam menambah pemain warisan ini menunjukkan kesungguhan dan perancangan strategik jangka panjang untuk memastikan skuad Harimau Malaya bukan sahaja kompetitif di peringkat serantau, tetapi mampu memberi cabaran di pentas Asia. Dengan campuran bakat tempatan dan antarabangsa, Malaysia kini berada di landasan yang lebih kukuh untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam arena bola sepak dunia.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.