Nama Luqman Podolski pernah menjadi tular di media sosial menerusi video-video jenakanya sejak dari tahun 2014 lagi.
Mencipta nama menerusi YouTube, personaliti ini juga pernah menggilap bakatnya sebagai rapper menerusi single debutnya berjudul ‘Sorang’ pada Ogos tahun lalu.
Terkini, pemilik nama sebenar Luqmanulhakim Kamaruddin ini bakal muncul dengan single terbaharunya berjudul “KEMBAR”.
Single “KEMBAR” merupakan karya ciptaan Luqman sendiri bersama Sabbala. Manakala kumpulan Hip-Hop tempatan, MassMusic menyumbang magis mereka sebagai penerbit rakaman lagu ini.
Sejak mula mencipta nama pada tahun 2014, Luqman sering diusik peminat tentang kewujudan orang yang seiras muka dan gaya diri yang digelar kembarnya.
Mengambil inspirasi daripada usikan peminat ini, beliau menzahirkan buah fikirnya dalam bentuk lagu.
“Lagu ini bercerita bahawa kita lebih mengenali diri sendiri. Diri yang kita tunjuk kepada orang ramai berbeza dengan diri ketika kita bersendirian.
“Walaupun ada ramai orang yang ada paras rupa atau gaya seperti kita, tetapi mereka bukan kita. Pengalaman hidup masing-masing berbeza. Itu yang menjadikan setiap daripada kita unik dan berbeza daripada orang lain.”, katanya.
“KEMBAR” juga merupakan single yang dipetik daripada album studio Luqman yang berjudul ‘HITAM PUTIH EP’ yang bakal menemui pendengar tidak lama lagi.
Sumber: Warner Music Malaysia
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.