Foto: Tangkapan skrin layar X
Seorang lelaki berbaju oren kini menjadi perhatian ramai selepas tindakannya memperdaya penjaga kaunter kedai serbaneka di sekitar Johor bagi mendapatkan PIN Touch ’n Go secara percuma terbongkar menerusi satu rakaman kamera litar tertutup yang tular di TikTok.
Lelaki terbabit dilaporkan menggunakan helah psikologi dan taktik yang bersahaja untuk memperdaya kakitangan premis agar menyerahkan kod PIN tanpa membuat sebarang bayaran.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @tvkomunitijohor, rakaman menunjukkan lelaki tersebut memasuki premis dengan tenang lalu menyatakan hasrat untuk membeli PIN Touch ’n Go bernilai RM200.
Dia kemudian dilihat berbual mesra dengan penjaga kaunter wanita dan bahkan menawarkan untuk membelanja minuman. Suspek kemudian mengambil dua tin minuman dan kembali ke kaunter untuk menyelesaikan pembelian.
Namun ketika pembayaran, dia dipercayai menggunakan sebuah telefon bimbit yang tersembunyi dalam poket baju dan meletakkannya dalam mod rakaman.
Sebaik sahaja pekerja menyerahkan kertas yang mengandungi kod PIN, suspek dengan tenang memberitahu kononnya dia terlupa membawa wang dan akan mengambilnya di dalam kereta. Bagi menguatkan lakonan, dia sempat kembali ke kaunter bagi bertanya jumlah harga sekali lagi sebelum terus keluar dari premis dan tidak kembali.
@tvkomunitijohor
Sapa kenal orang ini minta Hadir ke Petronas Senai Airport Johor... Orang ini datang ke Petronas Senai Airport Dan minta Topap TNG RM 200 lepas itu nak ambil barang lain tapi tak ambil.. Sebelum dia masuk dalam Petronas Dia on awal² Camera dalam poket Dan ambil TNG RM 200 Rakam Nombor TNG dan kata Nak ambil Duit tapi last² lari.. Bila kami check online Topap dah Claim..Kaki Scam Baru area Johor Tarikh..24/6/2025 MASA: 16:56 petang
♬ original sound - TV Komuniti Johor
Taktik ini dipercayai telah digunakan beberapa kali di beberapa buah kedai serbaneka lain termasuk di stesen minyak. Lelaki sama didakwa menggunakan pendekatan yang hampir serupa seperti menyamar sebagai pembeli, mewujudkan perbualan mesra dan mengambil hati staf kaunter.
Dalam satu kes lain, dia turut dilaporkan menggunakan kad debit yang tidak sah sebelum berdalih dan melarikan diri tanpa membuat pembayaran.
Helah ini berjaya kerana sifat rakyat Malaysia yang terkenal dengan keramahan dan sopan santun, sekaligus membuka ruang kepada penjenayah untuk mengambil kesempatan.
Tambahan pula, kod Touch ’n Go bersifat sekali guna dan tidak boleh dibatalkan selepas dicetak. Sekiranya sudah didedahkan walaupun belum dibayar, kod tersebut tetap boleh digunakan dan tidak dapat ditebus semula oleh pihak kedai.
Menurut pengendali video, kelemahan prosedur operasi standard di kaunter turut menjadi punca insiden seperti ini berlaku.
Terdapat premis yang menyerahkan kod terlebih dahulu sebelum menerima pembayaran penuh kerana terlalu percaya kepada pelanggan. Dalam kes ini, suspek dipercayai memanipulasi suasana dan menggunakan gangguan perbualan untuk mengalihkan fokus staf agar tidak menyedari niat sebenar.
Sebagai langkah pencegahan, beberapa saranan telah dikemukakan antaranya memastikan tiada sebarang kod atau barang digital diserahkan sebelum bayaran dibuat sepenuhnya.
Selain itu, pekerja perlu dilatih untuk mengenali taktik gangguan pelanggan dan fokus kepada transaksi sahaja. CCTV juga harus sentiasa berfungsi dengan rakaman jelas serta menghala terus ke arah kaunter untuk tujuan keselamatan dan bukti.
Kes seperti ini menjadi peringatan kepada semua peniaga supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan pelanggan terutama melibatkan produk digital yang mudah disalah guna. Mana-mana pihak yang mengenali suspek atau pernah mengalami kejadian serupa digalakkan untuk membuat laporan segera kepada pihak polis agar tindakan undang-undang dapat diambil.
Sumber: TikTok @tvkomunitijohor
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.