
Foto Hiasan
Pernah rasa seperti bayi sedang ‘judge’ anda dengan renungan tajamnya? Atau tiba-tiba dia khusyuk memandang ke siling, kipas atau bahkan ruang kosong? Jangan risau kerana semua itu bukan petanda negatif tetapi sebenarnya tanda perkembangan si kecil yang sangat sihat dan positif!
Dalam beberapa bulan pertama kehidupan, otak bayi berkembang dengan pantas. Dunia ini sangat baharu bagi mereka dan cara mereka belajar adalah dengan… merenung.
Jom kita tengok 5 sebab kenapa bayi suka merenung dan apa maksud di sebaliknya;
1. Bayi Tertarik Pada Wajah ‘Cantik’
Ya, ini bukan gurauan mungkin bayi tersebut merenung anda kerana dia merasakan anda cantik!
Satu kajian lama mendapati bahawa bayi lebih lama menatap wajah-wajah yang dianggap menarik di mata mereka. Ini menunjukkan bahawa mereka ada rasa tarikan semula jadi terhadap bentuk dan simetri wajah tertentu.
Tetapi jangan salah faham kerana bagi bayi, semua orang istimewa. Mereka belum pun kenal ‘standard’ kecantikan masyarakat. Yang penting, wajah anda memberi keselesaan dan rasa selamat pada mereka.
2. Tertarik Dengan Ciri Menonjol
Kalau anda pakai cermin mata, anting-anting besar atau rambut berwarna-warni, besar kemungkinan itu jadi sebab si kecil tak lepas pandang!
Bayi sangat suka benda yang kontras, unik dan bertekstur menarik. Aksesori atau pakaian yang mencuri tumpuan sebenarnya bagus untuk perkembangan penglihatan mereka.
3. Gerakan Buat Mereka Terkesima
Gerakan perlahan seperti kipas siling, daun bergoyang atau mainan berputar mampu membuat bayi terpaku seolah-olah sedang ‘dihipnosis’.
Pada usia sekitar 3 bulan, bayi mula faham dan memproses pergerakan. Mereka tenang dan diam kerana otak sedang bekerja keras memproses maklumat visual itu. Tetapi, kadang-kadang mereka akan alih pandangan jika terlalu ‘stimulated’.
4. Warna-Warna Cerah Tarik Minat
Bayi belum nampak dunia dengan jelas seperti orang dewasa, jadi warna yang terang dan kontras sangat membantu mereka untuk melihat.
Mereka mungkin lama memandang pada buku bergambar, baju berwarna neon atau permainan berwarna-warni. Ini semua membantu merangsang perkembangan penglihatan dan tumpuan mereka.
5. Otak Sedang Bekerja Keras
Kadang-kadang, renungan kosong itu bukan kerana mereka termenung jauh, tetapi kerana otak mereka sedang aktif memproses dunia sekeliling.
Dalam 6 tahun pertama, otak kanak-kanak berkembang hingga 90% jadi jangan terkejut kalau si kecil asyik memerhati, menganalisis dan menyerap segala-galanya.
Mungkin anda rasa janggal bila bayi tenung sampai mereka tak berkelip. Tetapi sebenarnya, itulah satu bentuk komunikasi awal, tanda mereka ingin kenal dunia dan belajar sesuatu.
Jika ada tingkah laku yang anda rasa luar biasa atau membimbangkan, jangan segan untuk berbincang dengan pakar kanak-kanak. Tetapi selagi mereka merenung dengan mata bersinar penuh rasa ingin tahu anggaplah itu pujian paling ikhlas dari seorang insan kecil yang sedang jatuh cinta dengan dunia.
Sumber: Healthline.Com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.