
Foto: Bernama
Lima individu, termasuk tiga sekeluarga, maut dalam satu kemalangan yang melibatkan empat kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Sedenak, malam tadi.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 11.30 malam itu juga mengakibatkan lapan lagi mangsa cedera.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata tiga mangsa yang maut termasuk kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Mariam Nasarudin, yang meninggal dunia di lokasi kejadian. Ibu bapa kanak-kanak tersebut, Nasarudin Pardi, 36, dan Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan penumpang hadapan lelaki berusia 20-an, yang identitinya masih belum dikenal pasti.
Bahrin berkata, kemalangan menjelang Syawal itu melibatkan sebuah treler, Toyota Camry, Proton X50, dan Honda Stepwagon Spada.
Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika pemandu lori berusia 35 tahun dari Johor Bahru dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, mengalami masalah tayar hadapan kanan yang pecah dan menyebabkan lori hilang kawalan. Treler itu kemudian bergesel dengan Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama tiga penumpang.
Seterusnya, treler tersebut masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton X50 serta Honda Stepwagon Spada yang membawa enam ahli keluarga dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru. Akibat kemalangan itu, Honda Stepwagon Spada terbakar sepenuhnya, namun pemandu dan penumpang sempat keluar sebelum api merebak.
Bahrin menyatakan bahawa lima mangsa yang maut meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, sementara lapan mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajah Khalsom, Kluang, untuk rawatan lanjut.
Pemandu treler telah ditahan untuk siasatan, dengan keputusan ujian dadah menunjukkan hasil negatif, dan tiada rekod jenayah lampau. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.