Meskipun belum ditentukan lagi tarikh bermulanya sekolah dibuka, ada sekolah yang sudahpun mula membuat persiapan awal bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuh dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Pengetua SMKA Kedah Model Ulul Albab, Mahir Mohamad berkata, setakat ini PIBG sekolah terbabit telah menyumbangkan 1,000 penutup hidung dan mulut serta lima alat penyukat suhu dan juga hand sanitizer.

"Kami juga menerima sumbangan penutup muka dan alat penyukat suhu daripada pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar, pengusaha kantin serta syarikat keselamatan dan kebersihan sekolah.
"Pihak sekolah juga telah menyediakan 15 botol cecair pembasmi kuman untuk kegunaan guru dan pelajar apabila sekolah dibuka kelak," katanya.

Sekolah berkenaan yang mempunyai 140 pelajar Tingkatan Lima dan 112 pelajar Tingkatan Enam akan menetapkan hanya 15 orang pelajar setiap kelas dengan jumlah 10 kelas bagi kedua-dua tingkatan ini.
Selain itu juga, simulasi kelas peperiksaan juga telah diadakan bagi memberi persediaan rapi sebelum sekolah dibuka pada pandemik COVID-19 ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan bahawa kelas-kelas peperiksaan akan dibuka terlebih dahulu kepada para pelajar dan tarikh sekolah dibuka ini juga akan diumumkan dua minggu lebih awal.
Sumber: GPS Bestari
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.