Seorang budak lelaki berusia 14 tahun dilaporkan bakal menjadi remaja tertinggi di dunia.

Xiaoyu, seorang murid dari sekolah di Leshan City dekat wilayah barat daya China ini mempunyai ketinggian semasa 7 kaki 3 inci (220.98 cm) dan sedang menunggu pengesahan dari Rekod Dunia Guinness untuk dinobatkan sebagai remaja lelaki tertinggi di Bumi.
Ketinggian terbaru Xiaoyu ini dicatatkan pada hari lahirnya yang ke-14 pada Ahad (18 Oktober) dan dia begitu besar dan tinggi sehinggakan pihak sekolah perlu membuat kerusi dan meja khas untuknya.

Neneknya, Wu Mei berkata: "Dia telah membesar jauh lebih tinggi dalam dua tahun terakhir ini."
Pada bulan Ogos, keluarga tersebut mengemukakan permohonan agar Xiaoyu secara rasmi diakui sebagai Remaja Tertinggi (Lelaki) dalam Rekod Dunia Guinness. Anak muda itu berkata:
"Sejak saya masuk sekolah, saya perhatikan bahawa saya lebih tinggi daripada kawan-kawan lain pada usia saya. Ramai pelajar salah anggap saya sebagai pelajar senior.
"Ini sedikit sebanyak mengganggu saya tetapi saya memutuskan untuk menjadikannya sesuatu yang positif dengan memohon kepada Guinness untuk melihat apakah saya dapat memperoleh rekod dunia."
Lu Lei, pegawai perakuan Rekod Dunia Guinness, telah ke Leshan untuk mengesahkan ketinggian Xiaoyu.

Lei disertai oleh Li Song, seorang doktor dari Hospital Rakyat Leshan, dan seorang wartawan dari akhbar Red Star News.
Pegawai perakuan itu berkata: "Pencabarnya nanti mestilah seorang lelaki dan berumur antara 13-18 tahun. Pada masa ini bekas pemegang Rekod Dunia Guinness untuk kategori ini berusia lebih dari 18 tahun."
Namun, dia menambah bahawa perbandingan itu tidak relevan kerana pencabar baru ini jauh lebih muda. Pegawai berkenaan telah mengukur ketinggiannya sebanyak tiga kali untuk memastikan ketinggian sebenar, iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

Setelah pengukuran ketinggian Xiaoyu selesai, ia akan dihantar ke London untuk diaudit di ibu pejabat Guinness. Setelah disahkan, Xiaoyu dijangka akan menjadi pemegang rekod dunia baru.
Sumber: Daily Star
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.