Sejak akhir-akhir ini, pelbagai bentuk jenayah siber telah dikesan pihak polis yang dilihat berjaya memerangkap ramai mangsa hingga menyebabkan mereka kerugian wang ringgit.

Dalam tempoh Oktober hingga November tahun ini, berlaku peningkatan kes membabitkan jenayah siber iaitu 72 kes pada November dan 56 kes pada Oktober dengan pelbagai taktik dan modus operandi.
Antara taktik terbaru adalah sindiket menawarkan kerja sambilan melalui aplikasi sosial sambil menjanjikan kewangan tambahan kepada mangsa.
"Mangsa dikehendaki memasukkan wang ke dalam akaun syarikat mahupun persendirian untuk turut serta dalam skim berkenaan dan berkesudahan mangsa gagal memperoleh keuntungan atau bayaran yang dijanjikan oleh sindiket.
"Penipuan lain pula membabitkan panggilan palsu daripada pejabat pos (Macau Scam) yang mana sindiket membuat panggilan rambang kepada mangsa dan menyatakan akaun bank mangsa terbabit dalam suatu kesalahan jenayah.
"Sindiket akan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun peribadi buat sementara sehingga siasatan selesai kononnya dijalankan polis," kata Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.
Bagi tempoh bulan ini sahaja seramai 13 orang berusia lingkungan 20 hingga 58 tahun telah ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, dengan lima dituduh di mahkamah.
Justeru, bagi mengelakkan masalah penipuan ini daripada terus berlaku, polis menasihatkan agar orang ramai tidak memberikan maklumat akaun peribadi mereka atau membiarkan akaun peribadi digunakan pihak ketiga.
Polis juga menyarankan orang ramai untuk mengkaji terlebih dahulu sebarang iklan atau panggilan telefon yang diterima bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan jenayah siber.
Sumber: Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.