M Dharshini merupakan salah seorang pelajar bukan Islam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak.

Apa yang menarik perhatian adalah, Dharshini yang juga pelajar tingkatan lima itu telah mengambil subjek Tassawur Islam sebagai salah satu subjek elektif untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada Januari depan.
Meskipun tidak mempunyai asas dalam subjek tersebut, anak sulung dari tiga beradik itu membuktikan kesungguhannya apabila memperoleh keputusan cemerlang iaitu A+ dan A- setiap kali ujian subjek berkenaan.
Memetik laporan dari portal tempatan, Dharshini merupakan satu-satunya calon bukan Muslim di sekolahnya yang bakal menduduki Tasawwur Islam untuk SPM 2020.

Selain minatnya untuk menambah pengetahuan, Dharshini berkata alasan lain mengapa beliau mengambil subjek itu adalah bagi memenuhi hasrat ibunya yang mahu dia menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang terletak berdekatan dengan rumah.
Tambah lagi, disebabkan pertembungan jadual bagi matapelajaran itu membuatkan Dharshini terpaksa belajar sendiri dengan merujuk kepada modul yang diberikan pihak sekolah.
"Saya tiada pilihan kecuali belajar sendiri dengan merujuk pada modul diberi pihak sekolah.
"Kebiasaannya, saya akan memberi lebih tumpuan untuk menelaah modul itu sehari sebelum ujian atau peperiksaan akhir tahun.
"Pada awalnya, agak sukar untuk memahami, mengingati dan membezakan misalnya antara nabi dan rasul tetapi kini saya sudah mengerti.
"Biarpun tiada guru untuk bertanya, modul diberi sebagai panduan itu sudah lengkap jadi tiada masalah untuk saya menelaah walaupun pada saat akhir. Setakat ini, saya dapat mengekalkan gred A dalam setiap ujian dan peperiksaan dengan markah keseluruhan paling tinggi adalah 90," katanya.
Sumber: HMetro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.