Jika anda merasakan tahun 2020 berlalu dengan begitu pantas dan kini sudahpun memasuki tahun 2021 dengan sekelip mata, anda tidak keseorangan kerana fenomena ini turut dirasai oleh saintis dunia.

Saintis yang menjalankan kajian keatas putaran bumi mendapati bumi kini berputar lebih pantas sejak 50 tahun yang lalu.
Putaran yang pantas ini menyebabkan ramai pengendali sistem masa berdebat sama ada perlu mengubah kembali putaran jam dunia bagi memberikan masa yang lebih tepat dan sebenar.

Ini kerana, selama beberapa dekad, Bumi memerlukan lebih dari 24 jam untuk melengkapkan putaran pada paksinya, tetapi sejak tahun lalu ia bertambah sedikit kelajuan.
Untuk rekod, pada 19 Julai 2020 lalu, masa untuk hari itu didapati kurang sebanyak 1.4602 milisaat daripada 24 jam penuh, dan kini dicatatkan sebagai hari terpendek sepanjang masa.
Sebelum tahun lalu, hari terpendek berlaku pada tahun 2005, tetapi rekod ini telah dipecahkan sebanyak 28 kali dalam tempoh 12 bulan yang terakhir.
Bercakap kepada The Telegraph, Peter Whibberley, seorang saintis penyelidikan kanan dari kumpulan masa dan frekuensi Makmal Fizikal Nasional, UK berkata: "Benar bahawa Bumi berputar lebih cepat ketika ini, berbanding dengan 50 tahun sebelumnya.
"Mungkin detik lompatan negatif (negative leap second) akan diperlukan jika putaran Bumi semakin meningkat, tetapi kini ia masih terlalu awal untuk diperkatakan.”
Oleh itu, rata-ratanya tiap hari pada tahun 2021 ini dijangka akan lebih pantas sebanyak 0.05 milisaat daripada 86,400 saat yang biasanya membentuk jangka waktu 24 jam dalam sehari.
Sumber: The Telegraph
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.