Foto: Sinar Harian
Selepas dua tahun hanya mampu melihat dengan sebelah mata, isteri kepada lelaki yang tular sebagai 'Pakcik Petai', akhirnya mendapat sinar baharu dalam hidupnya.
Memetik laporan Sinar Harian, wanita itu selamat menjalani pembedahan katarak secara percuma di Hospital Columbia Asia Seremban, satu rawatan yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.
Astiah Yaakob, 64 tahun, menerima rawatan tersebut pada jam 10 pagi, dikendalikan oleh Dr K Sangeeta, pakar perunding oftalmologi dan retina perubatan.Usai pembedahan, Astiah yang ditemui kelihatan lega dan bersyukur.
Katanya, sebelum ini penglihatannya amat terhad dan kabur, hingga mata jadi cepat berair bila melihat terlalu lama. Kini, dia akhirnya dapat kembali menatap dunia dengan lebih jelas.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang bantu. Mata saya sebelah memang dah lama kabur. Boleh nampak, tapi tak jelas, cepat pedih. Sebab tu saya nekad nak buat pembedahan," katanya dengan nada penuh syukur.
Sementara itu, suaminya, Mohd Noor Saad, 67 atau lebih dikenali sebagai Pakcik Petai turut menzahirkan penghargaan kepada pihak hospital yang sudi menaja kos rawatan isterinya.
Baginya, penglihatan baharu isterinya bukan sekadar soal kesihatan, tapi turut mengembalikan kebahagiaan dalam rutin hidup mereka.
Foto: Sinar Harian
“Harapnya lepas ni dia boleh buat kerja rumah macam biasa. Menyapu, masak… sekurang-kurangnya dia boleh buat semua tu dengan senang hati. Tak perlu bergantung sangat,” katanya.
Menurut Dr Sangeeta, tahap katarak yang dialami Astiah sebenarnya sudah agak kritikal. Justeru, rawatan yang diberikan tepat pada masanya dan diharapkan membantu mengembalikan penglihatan yang lebih baik dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Columbia Asia Seremban, Alice Chong, pula menjelaskan bahawa bantuan seperti ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital. Mereka komited untuk terus membantu golongan yang memerlukan, terutamanya warga emas seperti Astiah.
Untuk rekod, nama ‘Pakcik Petai’ sebelum ini menjadi tular apabila videonya membuang petai di atas jalan sebagai bentuk protes kerana tidak dibenarkan berniaga menggunakan motosikal.
Tindakan itu mendapat simpati ramai apabila diketahui bahawa dia berusaha mencari wang untuk menampung kos pembedahan mata isterinya.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.