
Foto: Facebook
QR Code atau Quick Response Code mungkin kelihatan seperti kotak bercorak rawak, tetapi di sebaliknya tersimpan sejarah inovasi luar biasa yang telah merevolusikan cara manusia menyimpan dan mengakses maklumat.
Dicipta pada tahun 1994 oleh jurutera Jepun, Masahiro Hara dari syarikat Denso Wave, QR Code pada asalnya bertujuan memudahkan pengesanan bahagian-bahagian dalam industri automotif.
Berbanding kod bar biasa yang hanya menyimpan data dalam satu arah dan jumlah terhad, QR Code dibangunkan sebagai kod dua dimensi yang boleh menyimpan sehingga 7,000 aksara dan dibaca dari pelbagai arah dengan pantas.
Ciri ini menjadikannya lebih fleksibel dan tahan lasak dimana kod masih boleh dibaca walaupun sebahagiannya rosak atau kotor.
Kemunculan telefon pintar yang dilengkapi kamera memacu kebangkitan QR Code dalam sektor pengguna.
Hari ini, QR Code digunakan dalam pelbagai bidang termasuk pemasaran, peruncitan, pelancongan, dan paling ketara, dalam sistem pembayaran digital.
Di negara seperti China dan Korea Selatan, transaksi melalui QR Code menjadi norma, mengurangkan kebergantungan kepada tunai dan kad.
Malaysia turut menyaksikan lonjakan penggunaan QR Code, terutamanya semasa pandemik COVID-19.
Sistem daftar masuk premis, status vaksinasi, malah transaksi harian di kedai dan pasar malam, semuanya diakses hanya melalui satu imbasan. Ia bukan sahaja memudahkan, malah mengurangkan sentuhan fizikal yang berisiko ketika wabak menular.
Kini, peranan QR Code terus berkembang. Dalam bidang pendidikan, pelajar boleh mengimbas untuk akses nota atau kuiz.
Dalam kesihatan, ia digunakan untuk menyimpan data pesakit dan rekod vaksin. Dalam dunia logistik, ia menjejak bungkusan dari kilang ke pintu rumah.
Apa yang menarik, ciptaan yang hampir 30 tahun ini masih kekal relevan. QR Code bukan sekadar alat akses maklumat ia menjadi penghubung penting antara dunia fizikal dan digital, menjadikan kehidupan harian kita lebih cekap, selamat dan tersusun.
Sumber: Facebook Marn Ali
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.