Foto: Instagram
Pelakon terkenal, Elfira Loy, tampil menyuarakan pendapat berhubung isu buli siber yang semakin berleluasa, dengan menyatakan bahawa pembuli tidak semestinya menggunakan kata-kata kesat secara terbuka.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan segelintir individu yang gemar menjatuhkan orang lain secara halus atau pasif, terutama di media sosial.
“Kadangkala, itu adalah seni diam yang mematahkan semangat, meredupkan cahaya seseorang, membebankan hati, atau merampas kegembiraan mereka yang kesakitannya boleh menyamai luka fizikal,” luah Elfira dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kontroversi yang melibatkan busana perkahwinan adiknya, Ezlisa Loy, yang didakwa netizen telah meniru rekaan pakaian perkahwinan pempengaruh terkenal, Ally Mukhriz yang juga merupakan cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Difahamkan, Ezlisa menggayakan busana songket berona biru muda yang dihias dengan sulaman manik merah jambu dalam majlis perkahwinannya baru-baru ini. Namun, penampilannya itu menjadi bahan perdebatan apabila dikatakan mirip dengan busana yang pernah digayakan oleh Ally Mukhriz sebelum ini.
Kontroversi tersebut menjadi lebih hangat apabila pereka fesyen kepada busana Ally, iaitu Fizi Woo, turut memberi reaksi terhadap hantaran Ally yang seakan-akan menyindir atau memerli Ezlisa di media sosial.

Foto: Instagram
Bagaimanapun, Ezlisa dalam kenyataannya menjelaskan bahawa busana yang digayakan itu diinspirasikan daripada rekaan pereka fesyen antarabangsa berasal dari Filipina, Michael Cinco, dan bukannya meniru mana-mana pihak secara langsung.
Elfira, sebagai kakak sulung dalam keluarga, tidak berdiam diri dan tampil mempertahankan adiknya melalui pelbagai hantaran di Instagram serta Threads. Dalam salah satu hantaran berbaur sindiran, beliau meluahkan bahawa mangsa sering menjadi sasaran kecaman walaupun hanya bertindak mempertahankan diri.
“Apabila mereka yang terluka akhirnya bangkit mempertahankan diri, merekalah pula yang sering disalah faham,” katanya.
Netizen turut memberi pelbagai reaksi terhadap kenyataan Elfira, dengan ramai yang bersetuju bahawa bentuk buli secara halus seperti sindiran, perli atau ‘posting’ berkias, mampu memberi tekanan emosi yang mendalam kepada mangsa, khususnya apabila dilakukan secara terbuka di platform media sosial.
Isu ini sekali lagi membuka perbincangan tentang etika dalam menggunakan media sosial, khususnya dalam memberi pandangan atau kritikan terhadap penampilan dan pilihan individu lain, terutamanya dalam perkara berkaitan majlis istimewa seperti perkahwinan.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.