Sempena sambutan Maulidurasul pada 29 Oktober 2020 ini, Imaan Music, melancarkan karya terbaharunya berjudul "Salawat 1442" pada 27 Oktober di YouTube.

Selepas 5 tahun, Imaan Music kini kembali menggabungkan nama-nama besar iaitu Dato’ Ustaz Kazim Elias (DUKE), Tuju, dan Tyco dalam “Salawat 1442”.
Tujuan lagu adalah untuk membawa kelainan dalam muzik dakwah dengan konsepnya bersifat lebih kepada "relaxing style”. Dilihat sebagai sebuah rilisan eksklusif terbitan Imaan Music, bersama komposer dan penulis lirik Tuju, Neo, dan Almanjawi, buat pertama kalinya, orang ramai dapat mendengar suara Dato’ Ustaz Kazim Elias (DUKE) menyanyi secara profesional dari dalam studio rakaman.

Lagu ini juga diselitkan dengan unsur rap yang dikendalikan oleh Tuju dan Tyco. Pertama kali mengambil bahagian dalam proses rakaman lagu, Dato’ Ustaz Kazim Elias (DUKE) turut berkongsi,
"Ramai yang tahu saya memang suka menyanyi ketika melaksanakan ceramah. Alhamdulillah, saya bersyukur dan hargai kepercayaan yang diberikan oleh Dato' Norman Abdul Halim untuk merakamkan sebuah lagu sempena Maulidurasul bersama dua ahli rap terkemuka, iaitu, Tuju dan Tyco. Salawat 1442" ini, diharapkan dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar sentiasa bersikap positif dalam menempuh rona kehidupan. Tidak lupa juga, elemen rap yang diselitkan dalam lagu ini, bertujuan untuk membuatkan golongan anak muda lebih tertarik untuk mendalami maksud di sebalik sambutan Maulidurasul."
Memetik kata-kata daripada Tuju berkenaan "Salawat 1442",
"Pembikinan lirik lagu rap yang dinyanyikan oleh saya dalam lagu ini adalah sesuatu yang belum pernah saya luahkan lagi dalam mana-mana karya sebelum ini. Melalui "Salawat 1442", saya berupaya untuk meluahkan perasaan saya dengan lebih jelas sekaligus berkongsi cerita tentang perjalanan hidup saya yang dulu hingga kini, dalam usaha saya menjadi Insan yang lebih baik. Saya memang sukakan sesuatu perkara yang baru dan mencabar. Dalam banyak-banyak penglibatan saya dalam menghasilkan muzik, ini adalah kali pertama saya memberanikan diri untuk tampil bukan hanya dalam muzik, malahan dalam kehidupan sebenar. Terima kasih Imaan Music kerana memberi peluang dan ruang untuk saya berkarya dalam lagu ini. Diharapkan mesej yang saya cuba untuk sampaikan dalam "Salawat 1442" dapat difahami dan diterima oleh semua."
Dalam pada itu, Tyco yang turut menjadi sebahagian daripada barisan yang melengkapkan karya "Salawat 1442" meluahkan,
"Setelah 12 tahun berdiam diri, entiti Tyco bakal membuat kemunculan kembali di mata orang ramai. Kali terakhir saya membuat penampilan adalah dalam filem Cicakman 2 iaitu pada tahun 2008. Walaupun konsep lagu yang dibawakan kali ini berbeza berbanding dengan karya-karya TYCO terdahulu, saya tetap mengharapkan agar karya kali ini dapat memberi impak kepada para pendengar."
Saksikan lirik video lagu "Salawat 1442" di saluran rasmi YouTube Imaan Music.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.