Foto: Tangkapan skrin video X
Tular di media sosial sebuah rakaman video yang memaparkan dua orang kanak-kanak perempuan berada di tepi jalan dipercayai ditinggalkan oleh ibu bapa mereka, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat. Insiden berkenaan dikatakan berlaku di kawasan Garden Avenue, Seremban 2.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi mengesahkan bahawa kedua-dua kanak-kanak tersebut telahpun berada dalam jagaan bapa mereka. Bagaimanapun, beliau enggan memberikan sebarang ulasan lanjut berkaitan kes tersebut.
Video yang berdurasi sekitar 12 saat itu memaparkan seorang kanak-kanak perempuan sedang duduk di tepi jalan sambil dipeluk oleh adik perempuannya dari belakang. Sebotol susu turut kelihatan diletakkan berhampiran mereka. Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang menyaksikannya.
Rakaman tersebut juga menunjukkan kehadiran sebuah kereta peronda polis serta beberapa orang awam yang dipercayai berada di lokasi kejadian bagi membantu atau memantau keadaan dua beradik itu.
Perkongsian video ini telah mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak tersebut. Dalam masa yang sama, ramai yang mengecam tindakan ibu bapa mereka kerana disangka telah mengabaikan anak-anak kecil itu.
Namun begitu, seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Shahrul Ahmad tampil menjelaskan keadaan sebenar. Menurut beliau, dakwaan bahawa dua beradik itu ditinggalkan adalah tidak benar. Sebaliknya, kedua-duanya dipercayai telah keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
“Bukan kena buang…kakak dia bawa adik keluar, ayah sedang tidur,” jelas Shahrul dalam satu komen di media sosial. Beliau juga turut berkongsi gambar kedua-dua kanak-kanak berkenaan bersama seorang lelaki yang dipercayai bapa mereka, bagi membuktikan bahawa isu ini telah disalah tafsir oleh orang ramai.
Situasi ini sekali lagi mengingatkan masyarakat tentang pentingnya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum membuat sebarang spekulasi atau menyebarkannya di media sosial.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.