Foto: Kosmo
Seorang lelaki yang memukul pemandu kereta menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan mangsa terbaring di atas jalan raya pada bulan lalu telah dijatuhkan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini.
Majistret N. Sivashangari membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memukul mangsa yang berusia 52 tahun menggunakan topi keledar di Jalan Utama Cheng, daerah Melaka Tengah, pada 27 Mac lalu sehingga menyebabkan kecederaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau didenda, atau dikenakan sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menyara anak dan isteri, serta mempunyai tunggakan hutang perniagaan.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor T. Veramuthu, memohon agar hukuman setimpal dijatuhkan, mengambil kira insiden tersebut menjadi tumpuan umum selepas tular di media sosial.
Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Pada 29 Mac lalu, media melaporkan seorang pemuda ditahan polis selepas didapati memukul seorang lelaki dengan topi keledar sehingga mangsa terbaring di atas jalan raya dalam kejadian di Cheng.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, memaklumkan bahawa pihak polis mengesan kejadian itu melalui rakaman video berdurasi 17 saat yang tular di Facebook.
Menurut beliau, pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham di jalan raya yang berakhir dengan tindakan fizikal.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.