Foto: Instagram
Spekulasi tentang kisah cinta penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah, semakin hangat diperkatakan apabila beliau tampil dengan kenyataan jujur bahawa dirinya kini sedang mengenali seorang jejaka istimewa.
Pengakuan itu sekali gus menguatkan khabar angin yang mendakwa penyanyi bersuara emas itu bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Menurut Dayang, atau nama penuhnya Nurfaizah Awang Dowty, 44, beliau tidak menafikan sedang dalam fasa berkawan rapat dengan seseorang, namun masih belum bersedia mengesahkan sebarang perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.
“Saya tidak nafikan sedang mengenali seseorang. Saya juga tidak mengiya atau menafikan (bakal berkahwin),” katanya ringkas ketika ditemui pihak media.
Penyanyi lagu-lagu balada yang sering menjadi siulan itu turut menambah bahawa soal jodoh adalah sesuatu yang sangat peribadi dan beliau lebih selesa menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.
“Soal jodoh ini macam biasa dan memang kedengaran klise. Saya serahkan pada Allah SWT. Semoga peminat mendoakan yang terbaik untuk saya,” ujarnya dengan nada tenang dan bersahaja.
Menariknya, ramai peminat mula mengaitkan kenyataan Dayang ini dengan single raya terbarunya bertajuk Jodoh Di Hari Raya, yang seolah-olah memberi bayangan tentang fasa baharu dalam hidupnya.
Namun, Dayang hanya tersenyum apabila ditanya sama ada lagu itu membawa maksud tersirat tentang status cintanya.
Sekadar info, Dayang membuat kenyataan tersebut ketika menghadiri sidang media Konsert MeleTOP TVS di Bukit Jalil baru-baru ini.
Konsert itu dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Miri, Sarawak pada 1 Jun 2025 dan akan menghimpunkan barisan artis popular tanah air.
Pengakuan penyanyi berkaliber itu sememangnya membuatkan peminat teruja, malah ada yang mula mendoakan agar Dayang benar-benar ditemukan dengan cinta sejati dan menamatkan zaman solonya yang cukup lama dinanti-nantikan peminat.
Apakah benar Dayang bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi? Atau ini sekadar fasa perkenalan? Sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya daripada penyanyi kesayangan ramai ini.
Sumber: MStar Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.