Foto: Instagram
Penyanyi dan pelakon tersohor tanah air, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura, baru-baru ini melancarkan single terbaharunya berjudul Luar Biasa. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama komposer terkenal dari Indonesia, Ade Govinda.
Menurut Fazura, perbincangan awal antara mereka hanya mengambil masa sekitar 10 minit secara dalam talian untuk menentukan hala tuju dan konsep lagu yang diinginkan. Hasilnya, beliau amat berpuas hati dengan ciptaan tersebut sehingga tidak melakukan sebarang perubahan pada lirik, sesuatu yang jarang berlaku baginya.
Fazura menyatakan bahawa lirik lagu Luar Biasa amat menyentuh hati dan sangat sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan kepada para pendengar pada masa kini. Lagu ini merupakan dedikasi buat individu yang pernah melalui ujian dan cabaran dalam hidup, namun tetap memilih untuk bangkit dan terus melangkah ke hadapan.
Sebelum pelancaran rasmi lagu ini, Fazura sempat berkongsi petikan lirik “jatuh itu biasa, bangkit itu luar biasa” di media sosial, dan menerima banyak respons positif daripada peminat yang merasakan bait tersebut amat dekat dengan pengalaman mereka sendiri.
“Ramai yang terkesan dengan lirik tersebut dan mereka dapat kaitkan dengan apa yang mereka sedang lalui.
“Matlamat saya untuk menghasilkan lagu yang dapat memberi semangat dan mesej positif kepada pendengar tercapai menerusi lagu ini.
“Luar Biasa adalah lagu tentang bagaimana kita mengharungi cabaran dan ujian dalam hidup sehingga ada kalanya kita jatuh terduduk, tetapi kita bangkit dan terus jalani hidup,” kongsinya.
Beliau menjelaskan bahawa matlamat utamanya dalam menghasilkan lagu ini adalah untuk menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada pendengar agar kekal kuat dalam menghadapi liku-liku kehidupan.
Baginya, lagu merupakan medium penting untuk menyampaikan mesej positif, bukan sekadar hiburan semata-mata. Ini juga dapat dilihat dalam lagu-lagu terdahulunya seperti Sayangi Dirimu dan Bangun yang turut membawa tema kekuatan dan penghargaan terhadap diri sendiri.
Apabila ditanya mengapa beliau tidak memilih untuk merakam lagu-lagu bertemakan cinta kecewa atau patah hati seperti kebanyakan artis lain, Fazura menjawab dengan tenang bahawa beliau tidak mahu menghasilkan lagu yang boleh membuatkan pendengar semakin bersedih.
Katanya, beliau lebih gemar mencipta lagu yang sesuai untuk didengar ketika memandu atau menjalani rutin harian agar dapat memberikan suntikan semangat kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menerbitkan lagu bertemakan patah hati pada masa akan datang, bergantung kepada perbincangan dengan pihak syarikat rakaman Universal Music Malaysia
Fazura mengakui bahawa permintaan pasaran terhadap lagu-lagu berunsur galau memang tinggi, namun secara peribadi beliau lebih berhati-hati dalam menyampaikan mesej melalui muzik agar tidak menambahkan kesedihan dalam diri pendengar.
“Ada perancangan untuk buat lagu patah hati tetapi takut bila lama-lama dengar akan jadi lagi patah hati. Anda akan meratap patah hati itu. Buat apa nak meratap. Tak payahlah.
“Tetapi saya faham pasaran muzik sekarang memang sukakan lagu sebegitu. Orang kita suka layan perasan dengar lagu-lagu sebegitu,” ujarnya lagi.
Sumber: Hib Glam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.