
Foto: Sinar Harian
Kos perkahwinan di Malaysia kini melonjak antara RM50,000 sehingga RM200,000, menjadikannya antara yang tertinggi di ASEAN, menurut Profesor Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Kenaikan ini didorong oleh inflasi, kos katering dan dewan, serta tekanan sosial.
Kajian menunjukkan bahawa pasangan Cina cenderung berbelanja lebih pada lokasi mewah, manakala pasangan Melayu dan India lebih memberi tumpuan kepada hiasan dan jemputan. Akibatnya, ramai pasangan terpaksa berhutang hingga RM100,000 yang turut menyumbang kepada peningkatan kes muflis di kalangan belia.
Kadar perkahwinan juga menunjukkan penurunan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina, akibat tekanan kewangan dan kos sara hidup yang tinggi.
Nik Maheran menasihatkan pasangan agar menetapkan bajet awal, menabung, dan mempertimbangkan majlis kecil untuk mengelakkan beban hutang.
"Perkahwinan hanya sehari, tetapi kestabilan kewangan adalah untuk seumur hidup," katanya.
Tambah beliau lagi, daripada membazirkan wang untuk majlis mewah, adalah lebih baik jika pasangan berbincang secara terbuka mengenai kewangan, membuat perancangan bajet yang realistik dan mengutamakan kestabilan kewangan untuk masa depan yang lebih terjamin.
Kisah pasangan muda seperti Nurizyan Syafiqah Mohd Shafruddin, 27 tahun, membuktikan bahawa majlis perkahwinan sederhana boleh direalisasikan tanpa berhutang. Beliau berjaya membiayai keseluruhan perkahwinannya bernilai RM40,000 melalui simpanan sendiri.
"Saya menetapkan bajet RM40,000 untuk perkahwinan termasuk majlis nikah dan bersanding. Saya juga menjual minyak wangi dan melakukan pemasaran Shopee untuk menambah pendapatan harian, sementara gaji disimpan sepenuhnya untuk majlis," katanya.
Sementara itu, bagi penganalisis perniagaan Yaswinii Kannan, 28 tahun, beliau memperuntukkan belanja sekitar RM85,000 untuk majlisnya, dengan sasaran untuk tidak melebihi RM100,000. Namun, beliau mengakui terdapat kos tidak dijangka seperti caj tambahan RM300 oleh jurusolek kerana masa menunggu ketika pertukaran pakaian saree.
Situasi ini jelas menunjukkan betapa pentingnya perancangan kewangan dan pengurusan bajet yang bijak dalam memastikan majlis bahagia tidak bertukar menjadi beban sepanjang hayat.
Sumber: theSun
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.