Foto: Instagram
Ahmad Aslam, menantu kepada pelakon terkenal Abby Abadi, mengakui masih belum berkesempatan bertemu dengan ibu mentuanya untuk memohon maaf secara bersemuka. Beliau menyatakan hasrat untuk menyelesaikan kemelut keluarga yang berlaku secara baik dan bersemuka.
“Saya masih belum bertemu dengan ibu mentua saya (Abby) selepas saya keluarkan kenyataan tempoh hari. Sehingga kini cuma Marissa yang jumpa mama.
Saya ada perancangan untuk bersemuka, Insya-Allah bila ada kelapangan. Saya (tengah) cari masa sesuai untuk jumpa mama,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Aslam dan isterinya yang juga seorang pempengaru, Marissa Dania hadir ke mahkamah bagi mendaftarkan pengesahan pernikahan mereka yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Mengakui kekhilafannya, Aslam menyatakan harapannya agar segala isu yang berlaku dapat diredakan.
“Saya mengaku apa yang terjadi adalah salah saya. Saya juga harap tiada pihak yang mengeruhkan lagi keadaan. Saya manusia biasa, ada silap tapi sentiasa ingin perbaiki diri,” ujarnya.
Terdahulu, Abby Abadi mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang menuntutnya memohon maaf kepada isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan.
Beliau kemudian meminta Aslam untuk tampil memohon maaf kepadanya berikutan tindakan lelaki itu menikahi anak perempuannya secara rahsia.
Enggan memburukkan lagi keadaan, Aslam telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mentuanya melalui platform Thread.
Situasi ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan ramai yang berharap agar hubungan kekeluargaan antara mereka dapat dipulihkan dan diselesaikan secara harmoni.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.