Foto: Instagram
Pelakon jelita, Anzalna Nasir, berkongsi satu pengalaman luar biasa yang hampir tidak menjadi kenyataan semasa percutian bersama keluarganya di Maldives baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Anzalna mendedahkan dia hampir menarik diri daripada satu aktiviti unik iaitu menyelam dengan menaiki kapal selam kerana mengalami serangan panik sejurus kenderaan laut itu mula bergerak ke dasar laut.
Menurut Anzalna, 37, dia berasa amat tidak selesa sebaik sahaja kapal selam itu mula menyelam, hingga terlintas untuk meminta kru menghentikan perjalanan.
"Dalam hati saya sudah menjerit nak keluar dari submarine ni. Serius, saya dah nak suruh mereka patah balik. Saya tak kisah dah berapa banyak yang saya bayar, saya dah mula rasa anxiety yang teruk," kongsinya dengan jujur di Instagram Story.
Namun, naluri keibuan dan keinginannya untuk memberikan pengalaman bermakna kepada anak-anak menjadi kekuatan buatnya mengatasi rasa takut tersebut.
Anzalna, yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan, berkata dia tidak mahu anak-anaknya terlepas peluang menyaksikan keindahan dunia laut yang jarang dapat dinikmati secara dekat.
"Saya takut sebenarnya, tapi saya kuatkan diri sebab nak anak-anak saya rasa pengalaman ni. Masya-Allah, mereka sangat bertuah dapat tengok makhluk laut yang cantik-cantik ni depan mata. Subhanallah."
Pemandangan memukau dasar laut yang dihiasi terumbu karang, ikan berwarna-warni dan suasana sunyi yang tenang akhirnya membuatkan perasaan cemas Anzalna reda serta-merta. Malah, dia menyifatkan pengalaman itu sebagai antara yang paling indah pernah dialaminya sekeluarga.
"Hilang terus anxiety mummy! Alhamdulillah, pengalaman ni sangat luar biasa dan tak akan dilupakan. Ini antara momen terindah dalam hidup kami sekeluarga," tulisnya lagi.
Anzalna juga turut berkongsi beberapa foto dan video semasa berada dalam kapal selam itu, memperlihatkan wajah ceria suami tercinta Hanif Zaki serta anak-anak mereka yang kelihatan begitu teruja menikmati pengalaman unik tersebut.
Untuk rekod, Anzalna dan Hanif mendirikan rumah tangga pada tahun 2016. Sejak bergelar ibu, Anzalna sering berkongsi rutin kehidupannya bersama anak-anak dan aktif membawa mereka meneroka dunia dalam cara yang bermakna dan mendidik.
Perkongsian Anzalna itu turut mendapat perhatian peminat dan warganet, yang memuji keberaniannya serta menzahirkan rasa kagum terhadap cara selebriti itu mendidik anak-anak melalui pengalaman kehidupan sebenar, bukan sekadar di dalam kelas mahupun buku.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.