Foto: Instagram
Penyanyi popular, Akim Ahmad, mendedahkan bahawa beliau berhenti merokok sejak setahun lalu selepas bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru. Kisah itu menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya, sekaligus memberi kesedaran mendalam tentang kepentingan menjaga kesihatan.
“Ada sebab kenapa saya berhenti merokok. Tiga tahun lalu ayah saya didiagnos menghidap kanser paru-paru. Jadi itu merupakan turning point untuk saya dan adik-beradik lelaki lain berhenti merokok,” katanya ketika ditemui media.
Akim mengakui bahawa usaha untuk berhenti bukanlah semudah yang disangka, apatah lagi beliau sudah merokok sejak zaman sekolah dan tergolong dalam kategori perokok tegar.
“Awalnya memang sangat susah sebab saya perokok tegar. Sehari boleh habiskan sekotak. Saya selalu tanya pada diri, perlukah berhenti terus atau perlahan-lahan. Saya sendiri berperang dengan mental saya,” ujarnya jujur.
Namun, keputusan itu ternyata membawa banyak manfaat kepada dirinya, termasuk dari segi stamina dan tenaga untuk membuat persembahan. Perubahan fizikal yang dirasai selepas berhenti merokok turut menguatkan lagi semangatnya untuk terus kekal bebas dari tabiat lama itu.
“Saya sendiri sudah mula rasa stamina meningkat, lebih bertenaga dan mampu menyanyi lebih lama ketika di atas pentas,” kongsinya lagi.
Tambah Akim, ayahnya pernah berpesan agar banyakkan berzikir dan beristighfar sebagai cara untuk menenangkan hati, terutama ketika diuji dengan keinginan untuk kembali merokok.
Nasihat itulah yang menjadi pegangan beliau dalam proses menyesuaikan diri dengan gaya hidup baharu.
Perubahan ini bukan sahaja memberi impak positif kepada kesihatan Akim, malah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan mereka. Melihat sendiri penderitaan ayahnya akibat penyakit yang berkait rapat dengan merokok menjadi peringatan yang cukup besar buatnya, bahawa kesihatan adalah nikmat yang tak boleh dibeli semula.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.