Semalam menyaksikan satu sejarah baru dalam bidang perundangan negara apabila Datuk Tengku Maimun Tuan Mat telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Datuk Tengku Maimun dilantik menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April lalu, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan setelah mendapat perkenan Seri Paduka.
Latar belakang Datuk Tengku Maimun.
Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, beliau memulakan karier sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada 1982 sebelum menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun pada 1984.
Selepas menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim mahkamah sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Pada 2005, beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2006, seterusnya sebagai Hakim Mahkamah pada 2007.
Pada 2013, beliau menjadi Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.
Sumber: Awani / Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.