Vokalis utama kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada kumpulan tersebut.
Pengumuman dibuat oleh Amy sendiri menerusi live bersama Astro Gempak dalam satu segmen yang dikendalikan oleh portal berkenaan.
"Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai vokalis Search,", jelas Amy yang nyata membuatkan peminatnya terkejut.
Pengunduran Amy daripada kumpulan terbabit adalah bagi memberi peluang kepada anggota Search yang lain mengorak langkah masing-masing tanpa bergantung atau tersekat dengan dirinya.
Tambah Amy lagi, beliau kini berusia 62 tahun dan tidak mempunyai kualiti vokal seperti usia 26 tahun.
"Hal itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup. Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup," terang Amy seperti yang dipetik dari Awani.
Amy bagaimanapun berkata beliau akan kekal menyanyikan lagu Search dalam persembahannya selepas ini meskipun bergerak secara solo. Pengunduran ini juga bukan bermakna beliau bersara, sebaliknya akan meneruskan karier solo mengikut usianya.
Sumber: Awani / Gempak
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.