← Back to list
Bung Moktar meninggal dunia
Dec 05, 2025
Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia awal pagi tadi.
Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kota Kinabalu dilapor susulan kegagalan buah pinggang dan jangkitan paru-paru.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Kampung Likas.
Sebagai rekod, ADUN Lamag itu baru sahaja mempertahankan kerusi tersebut pada PRN Sabah Ke-17.
Semasa hayatnya, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA dan Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu pemimpin BN dan UMNO termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi luah rasa dukacita atas pemergian Allahyarham.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang sentiasa bersama ketika susah dan senang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula menyifatkan Bung Moktar sebagai seorang pemimpin, sahabat dan figura yang sentiasa teguh mempertahankan prinsip.
Menurut beliau, Pengerusi BN Sabah itu juga telah banyak berkorban serta menyumbang kepada Sabah dan negara.
---
Penduduk Tumpat dan Pasir Puteh di Kelantan terutama di kawasan rendah diminta waspada dengan amaran banjir yang bermula esok hingga Ahad.
Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, JPS, ia berdasarkan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi paras bahaya.
Sebagai rujukan, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan untuk Kelantan, Pahang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak bermula hari ini hingga Isnin depan.
Sementara itu lebih 2,800 mangsa banjir berlindung di PPS di 4 negeri, sebahagian besarnya di Perak iaitu lebih 1,700 orang, Selangor kira-kira 900 dan selebihnya di Perlis dan Pahang.
Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya anggar lebih RM327 juta diperlukan setakat ini bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam yang terjejas akibat Monsun Timur Laut.
Dapatkan berita dan acara setempat dan antarabangsa! Ketahui juga berita hiburan dan gosip terbaru serta jangan ketinggalan mengetahui skor semasa sukan kegemaran anda!
Pastikan anda mendengar Buletin PETRONAS di ERA pada waktu-waktu berikut:
Isnin - Jumaat
7:00am, 7:00am, 8:00am, 8:30am, 9:00am, 10:00am, 11:00am, 12:00pm, 1:00pm, 2:00pm, 3:00pm, 4:00pm, 5:00pm, 6:00pm, 7:00pm
Sabtu - Ahad
9:00am, 11:00am, 1:00pm
Cuaca