Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) meraikan ulang tahun kelahiran pertama tiga ekor anak harimau Malaya yang dilahirkan 12 April tahun lalu.
Puntum (jantan), Teja dan Bayu (betina) dilahirkan di zoo tersebut oleh ibunya yang bernama ‘Baby’ yang ketika itu berusia 11 tahun.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Muhammad Zubir, pihak zoo menawarkan pakej istimewa kepada 60 penyertaan terawal pada Sabtu dan Ahad lepas sempena ulang tahun itu.
“Melalui pakej itu, peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman melawat pameran-pameran di ZTNS bersama Renjer Zoo dan bersama-sama menyertai sesi ‘animal feeding’.
“Lebih menarik, peserta turut diberikan keistimewaan iaitu dapat melihat anak-anak harimau ini menerusi jarak dekat, melihat sesi ‘enrichment programme’ yang disediakan oleh penjaga zoo,” katanya lagi
Tambahnya lagi, berat bagi setiap ekor anak-anak harimau itu mencecah antara 70 ke 80 kilogram dan berada dalam keadaan baik dan sihat.
Selepas kelahiran terakhir pada tahun 2009, kelahiran Puntum, Teja dan Bayu merupakan kejayaan kelahiran kali keempat anak Harimau Malaya yang berjaya disambut oleh Zoo Taiping & Night Safari.
Kini, lebih 200 ekor Harimau Malaya sahaja yang hidup liar seluruh negara dan berada pada tahap yang membimbangkan.
Pada tahun 2015, harimau Malaya diklasifikasikan sebagai haiwan yang diancam kepupusan (senarai merah) oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Harimau Malaya merupakan spesis yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.