Samantha Ramsdell mendapat perhatian seluruh pengguna media sosial dengan kebolehan bukaan mulut yang sangat luas telah mendapat pengiktirafan sebagai wanita mulut paling besar di dunia oleh Guinness World Records.
Mempunyai 1.7 juta pengikut di laman Tik Tok, Samantha mula tular apabila memuat naik video sedang memuatkan sejumlah besar makanan ke dalam mulut, termasuk keseluruhan kentang goreng.
Ujian ukuran mulut yang dibuat di sebuah klinik di South Norwalk, Connecticut mengesahkan bukaan mulutnya mempunyai keluasan 6.52 sentimeter dan akhirnya diiktiraf sebagai wanita mulut paling besar di dunia pada 28 Julai lalu.
“Berusia 31 tahun dan memperoleh rekod ini untuk sesuatu yang selama ini buat saya rasa tidak yakin dan pernah mahu menjadikan ia kecil, adalah sangat hebat.
“Ia kini menjadi satu daripada perkara terbaik mengenai saya,” katanya.
Wanita berasal dari Connecticut ini turut menyokong mereka yang mempunyai anggota badan unik untuk mencatat rekod dalam Guinness World Records.
“Lakukan dengan penuh dan jadikan ia aset paling besar anda. Ia adalah kuasa anda, yang menjadikan anda istimewa dan berbeza daripada orang lain di sekeliling,” katanya.
Dia juga berkongsi permulaan membuka akaun media sosialnya hanya sekadar berkongsi kebolehan nyanyiannya tanpa menyedari bentuk mukanya sehingga menarik tumpuan orang ramai.
Keyakinannya terserlah apabila dia menunjukkan kebolehan mulutnya yang besar itu dan terus melakukan video parodi untuk hiburan pengikutnya.
“Sejak itu saya berkongsi banyak video kelakar dan parodi tetapi setiap kali berkongsi sesuatu yang menunjukkan mulut saya, ia menjadi sangat tular,” katanya.
Sumber: CNN
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.