Solat Jumaat akan tetap diteruskan di masjid seluruh negara meskipun kini terdapat penularan wabak koronavirus (COVID-19) di seluruh dunia.
Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, solat Jumaat adalah hukumnya wajib dan masih belum ada keperluan untuk tidak solat Jumaat di masjid.
"Orang ramai disarankan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan khutbah perlu dipendekkan bagi mengurangkan jemaah terdedah dengan persekitaran," katanya yang turut menyarankan pihak masjid menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.
Bagaimana pun, andainya COVID-19 merebak dan tidak terkawal, orang ramai dibenarkan untuk menggantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.
"Dalam hal ini beberapa garis panduan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya pada sidang media.
Terdahulu, Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan mengambil langkah pencegahan penularan Covid-19 termasuk cadangan menghentikan solat jemaah dan solat Jumaat di masjid.
Untuk perkembangan lain berkenaan Covid-19, dapatkan maklumat terkini di sini.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.