Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu lagi kes wabak Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pontian, Johor, selepas dua kes serupa direkodkan juga berlaku di Pulau Pinang, lapor Public Health Malaysia.
Penyakit JE bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah wabak daripada nyamuk ini juga berlaku di Kemboja, China, Indonesia, Sri Lanka, Laos dan negara-negara lain di Asia serta kawasan di Selatan-Timur Persekutuan Rusia.
Meskipun kes jangkitan JE ini adalah termasuk dalam kes-kes terpencil, virus yang tersebar melalui nyamuk ini boleh menggangu sistem imuniti badan khasnya kanak-kanak, yang juga menyebabkan berlakunya sawan.
Kesan daripada gejala penyakit ini boleh menjadi serius termasuklah kecacatan otak dan kematian. Kadar kematian adalah sehingga 60% untuk pesakit yang menunjukkan gejala manakala lebih kurang 30% pesakit akan mengalami kerosakan pada sistem saraf pusat.
Namun begitu, kebanyakkan jangkitan JE tidak menunjukkan gejala atau tanda, dengan anggaran 1 dalam 250 pesakit sahaja yang menunjukkan gejala penyakit. Gejala yang biasa adalah demam, sakit kepala, loya dan juga muntah.
Lebih menakutkan, nyamuk Culex yang membawa virus JE boleh membiak dalam apa jua takungan, tak kiralah bersih atau kotor, tidak seperti nyamuk Aedes.
Justeru, bagi mengelakkan nyamuk ini daripada terus membiak, lakukan pembersihan dan musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk sekali seminggu, selain menggunakan insect repellant/racun serangga bagi mengelakkan daripada digigit nyamuk.
Sumber: Public Health Malaysia / Myhealth
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.