Kredit Utusan Online.
Hussain Abdul Rahman, 84, bekas Penyelia Sekolah-sekolah Agama Jabatan Pendidikan Negeri Johor selamat di ijabkabulkan bersama Kamsiah Adam se 66, ibu kepada tiga cahaya mata di Pusat Pendidikan Al Barakah 22 Julai lalu.
Pasangan pengantin baru ini bermula apabila mereka bertemu masing-masing mengikuti kelas dewasa di Pusat Pendidikan Al Barakah.
Ini perkahwinan ketiga bagi Hussain yang berasal dari Pontian, Johor dan memiliki tujuh anak, 17 cucu serta seorang cicit, sementara Kamsiah dari Taiping perkahwinan kedua selepas kematian suaminya, lebih 35 tahun lalu.
Hussain juga mengatakan perkahwinan yang dibina ini tidak lain untuk menambah ketenangan dalam beribadah.
“Dengan adanya seorang isteri di sisi, dia akan menemankan saya dan menjadikan urusan ibadah lebih sempurna, mudah-mudahan dengan doa semua, ALLAH makbulkan niat kami untuk mencari ketenangan dalam ibadah,” katanya.
Beliau yang pernah menyambung pengajian di Mekah selama lapan tahun, mengambil keputusan untuk menjadi penghuni Pondok Al Barakah sekitar Mac lalu.
“Anak-anak memang nak saya tinggal bersama mereka, tapi saya tak mahu sebab nanti asyik makan dan tidur sahaja, kalau di pondok ni, tiap-tiap hari ada kelas dan ceramah, boleh saya tambah ilmu dan amal ibadat.
“Buat masa ini, saya dan isteri akan terus menetap di pondok dan jika panjang umur, saya juga nak praktikkan bahasa Arab yang saya belajar dulu di sini,” katanya.
Perasaan gembira dan syukur itu turut dikongsi oleh pengantin perempuan, Kamsiah apatah lagi mendapat restu ahli keluarga termasuk anak-anaknya.
“Kerana Allah kami jumpa di sini, susah saya menolak jodoh ini kerana saya melihat Haji seorang yang beriman dan boleh membawa saya menjalani ibadah yang lebih sempurna,” katanya.
“Kebetulan saya ada kepakaran sedikit dalam bidang fisioterapi, lihat Haji jalan agak susah sebab sakit lutut, saya jatuh kasihan, lepas ni boleh la saya tolong jaga dia dan urut kaki supaya Haji lebih selesa beribadah,” katanya.
“Inilah dinamakan jodoh, tak sampai setahun Haji di sini, beliau dipertemukan dengan pasangannya, selalunya pengurusan Al Barakah akan menaja kenduri seperti ini, tapi mungkin keadaan sekarang kami kekangan dana, jadi ahli keluarga kedua-dua pengantin bersetuju membiayai sendiri kenduri mereka,” kata Ustaz Kazim Elias
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.