Seekor ular sawa seberat kira-kira 25 kilogram dijumpai dalam keadaan kekenyangan selepas menelan seekor anak kambing di Kampung Suasa pada Khamis.
Pemilik kambing terkejut apabila menemui ular sepanjang hampir empat meter itu di dalam kandang kambing pada jam 12.30 tengah hari.
Dia bertindak pantas dengan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort terus ke lokasi kejadian bagi tindakan lanjut.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seekor ular sawa berada di dalam sebuah kandang kambing.
“Hasil pemeriksaan mendapati ular itu telah menelan seekor anak kambing,” katanya.
Hanya 10 minit masa diambil pihak Bomba untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas yang disediakan.
“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.