Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal menghantar kapal angkasa bagi melakukan penyelidikan di asteroid antara Marikh dan Musytari untuk mengumpul data mengenai asal usul alam semesta.
Projek terbaharu ini diumumkan dalam program ruang angkasa bagi negara yang kaya dengan minyak itu.
Jika pendaratan berjaya dilakukan, ia akan meletakkan UAE setaraf dengan Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Amerika Syarikat yang telah berjaya melakukan misi tersebut.
Kapal angkasa itu akan berada di asteroid dan menghantar balik maklumat ke bumi mengenai komposisi asteroid itu selagi bateri di kapal tersebut bertahan.
Sasaran bagi pelancaran projek ini adalah pada tahun 2028 dengan pendaratan pada tahun 2033, perjalanan lima tahun di mana kapal angkasa akan menempuh jarak sekitar 3.6 bilion kilometer.
Menurut Agensi Angkasa UAE, pihaknya akan bekerjasama dengan Makmal Fizik Atmosfera dan Angkasa di Universiti Colorado untuk melancarkan perjalanan projek tersebut.
Namun, pihaknya masih belum mendedahkan kos bagi projek tersebut dan dalam peringkat kajian setakat ini.
Sumber: Bloomberg News
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.